Tuesday 31 January 2017

MINGGU KARYAWAN MTI (TINGKATAN 2)

Oleh: Muhammad Hafiz bin Mohamad Faizan, Muhammaf Asraf Danial bin Rusli, Ahmad Idham bin Zaid, Muhammad Iman Nor Hafiz bin Norafandy

CERPEN: KISAH SERAM DI ASRAMA

Saya ingin berkongsi pengalaman saya semasa tinggal di asrama, berjauhan dari keluarga. Pada minggu pertama saya tinggal di asrama, saya berasa gembira dapat berkenalan dengan rakan-rakan baru.

Namun begitu, pada minggu kedua, saya mula berasa tidak selesa terutama sekali apabila waktu malam menjelang. Saya mula diganggu oleh bunyi cakaran di tingkap asrama yang amat menyeramkan. Saya cuba tidak menghiraukan gangguan itu, akan tetapi semakin kuat pula bunyi cakaran tersebut. Saya cuba mengejutkan rakan di sebelah saya, tetapi tiada tindak balas. Saya teringat pesanan ibu bapa, "Jika terasa diganggu syaitan, kita perlu melengkapkan benteng diri dengan bacaan Al-Quran". Mujur saya pelajar tahfiz, segera saya membaca ayat-ayat hafazan. Semakin kuat bacaan yang saya baca, semakin perlahan bunyi cakaran itu.

Pada malam minggu berikutnya, ketika saya hampir melelapkan mata di atas katil, saya terdengar seseorang memanggil-manggil nama saya. Walaupun takut, saya cuba mengabaikan panggilan itu dan cuba memejamkan mata. Ketika mata saya dipejam, tiba-tiba katil saya digoncang dengan kuat berserta bunyi dengusan yang menyeramkan. Saya terbuka mata saya, lalu terpandang seekor lembaga hitam sedang memanjat katil saya. Dalam keadaan panik, saya tersepak lembaga tersebut sehingga terdengar bunyi dentuman seperti nangka busuk jatuh. Saya menjerit sekuat hati. Beberapa rakan terbangun dari tidur apabila mendengar jeritan saya. Rakan-rakan melihat saya sedang ketakutan. Tanpa berlengah lagi, beberapa orang rakan telah pergi melaporkan kejadian tersebut kepada ustaz. Ustaz segera bergegas ke asrama kami. Apabila ustaz sampai, dia segera berusaha untuk menenangkan saya yang sedang ketakutan.

Pada keesokan harinya, saya bercerita kepada rakan-rakan sekelas tentang apa yang berlaku pada malam tadi. Ustaz telah memanggil kami ke surau untuk membaca Al-Quran dan seterusnya menasihati kami agar menjaga kebersihan, akhlak dan ibadat kami supaya peristiwa itu tidak berulang kembali. Sejak itu, saya dan rakan-rakan cuba untuk memperbaiki diri. Keadaan asrama kembali tenang dan saya dapat tidur lena pada waktu malam.

No comments:

Post a Comment