Tuesday 10 January 2017

AKTIVITI GOTONG-ROYONG DI MAAHAD TAHFIZ AL-IMAN

Oleh: Tuan Harris Daniel, Shaman, Shahrul, Abd Razin (Tingkatan 2, MTI)

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum w.b.t.




Pada hari Sabtu yang lepas (7/1/2017), warga Maahad Tahfiz Al-Iman telah menjalankan aktiviti gotong-royong di asrama yang bermula pada jam 9.30 pagi. Semua pelajar telah mengambil bahagian untuk membersihkan tempat-tempat yang ditetapkan. Pelajar-pelajar telah dipecahkan kepada beberapa kumpulan untuk membersihkan surau, tandas, asrama, kelas serta mengutip sampah di seluruh kawasan Maahad Tahfiz Al-Iman. Semangat berkerjasama dan saling membantu antara pelajar telah dapat diterapkan melalui aktiviti ini. 

Pelajar-pelajar yang membersihkan surau telah menyapu dan mencuci lantai serta menyusun rehal dan Al-Quran. Manakala, pelajar-pelajar yang membersihkan asrama telah menyapu lantai, mencuci kipas, mengemas barang-barang dan mengelap tingkap.

Bagi pelajar-pelajar yang ditugaskan untuk membersihkan kelas, mereka telah menyusun meja, mengemas buku, menyapu lantai dan membuang sampah yang terkumpul di dalam tong sampah. Di kawasan tandas pula, sekumpulan pelajar telah mencuci mangkuk tandas, membersihkan sinki, mencuci lantai tandas dan menolak air yang bertakung di atas lantai sehingga kering. 

Pelajar-pelajar yang ditugaskan untuk membersihkan di sekeliling Maahad Tahfiz Al-Iman telah mengutip sampah di kawasan hadapan pejabat, di dataran, di dalam longkang dan di sekitar padang bola sepak. Terdapat juga sebahagian pelajar yang membantu guru-guru untuk membersihkan pejabat, mengangkat kotak-kotak kosong dan mengumpul sampah untuk dibuang ke dalam tong sampah. Kira-kira pada jam 11.00 pagi, semua pelajar telah menyiapkan segala tugasan yang diamanahkan. 

Pada jam 12 tengah hari, pelajar-pelajar dikehendaki untuk berkumpul di dataran. Guru-guru telah memeriksa kawasan-kawasan yang telah dibersihkan oleh pelajar-pelajar. Setelah guru-guru berpuas hati dengan hasil kerjasama dari semua pelajar, guru-guru mengucapkan jutaan terima kasih kepada pelajar sebagai tanda penghargaan.

Kami berharap aktiviti gotong-royong ini kerap diadakan di sekolah ini bagi memastikan pelajar-pelajar sentiasa sihat dan selesa untuk menjalankan aktiviti harian di Maahad Tahfiz Al-Iman. 

2 comments:

  1. Wahh bagus.. Amalan yang mulia.. Semoga amalan ini berterusan demi kebaikan pada syakhsiah pelajar dan sekolah..👏👍

    ReplyDelete
  2. cikgu suruh buat bina ayat...

    ReplyDelete