Monday 9 January 2017

HARI ORIENTASI MAAHAD TAHFIZ AL-IMAN 2017

Oleh: Luqman, Syahid, Iyaz, Aiman, Kiraman (Tingkatan 3, MTI)

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum w.b.t

Pada 2 Januari 2017 (Isnin) yang lalu, Maahad Tahfiz Al-Iman telah mengadakan Hari Orientasi untuk mengalu-alukan kehadiran pelajar-pelajar bagi memulakan sesi persekolahan bagi tahun 2017. 

Hari Orientasi dimulakan dengan aktiviti perhimpunan pelajar-pelajar bersama barisan guru pada jam 8.00 pagi. Sebagai pembuka majlis, pelajar-pelajar telah mendengar kata-kata aluan dan taklimat yang disampaikan oleh Mudir Maahad Tahfiz Al-Iman iaitu Ustaz Kamarudin bin Katimin. Selepas itu, barisan guru yang terdiri daripada Ustaz Ayub, Ustaz Azahari, Ustaz Alif dan Ustazah Siti Rohana telah memperkenalkan diri masing-masing.



Pada jam 9.30 pagi, Ujian Diagnostik dijalankan untuk mengenal pasti kebolehan setiap pelajar. Selepas rehat, pelajar-pelajar telah menghadiri mesyuarat kelas untuk melantik ahli jawatankuasa kelas, menyusun jadual bertugas harian, dan sebagainya.





Pada jam 2.30 petang, pelajar-pelajar telah menyertai aktiviti Explorace yang telah dirancang oleh pihak guru-guru. Pelajar-pelajar dibahagikan kepada empat kumpulan yang mana setiap kumpulan terdiri daripada pelajar-pelajar dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5. Aktiviti Explorace merangkumi empat checkpoints. Di checkpoint pertama, aktiviti yang dinamakan 'Tanpa Talian Hayat' telah dilaksanakan. Pelajar dikehendaki memindahkan air di dalam botol ke dalam cawan tanpa menggunakan tangan secara berkumpulan. Pelajar-pelajar hanya dibenarkan untuk menggunakan tali sebagai alat bantuan. Kerjasama amat diutamakan dalam aktiviti ini. Seterusnya, di checkpoint kedua, aktiviti yang dinamakan 'Telefon Rosak' telah dijalankan. Pelajar yang pertama akan diberikan maklumat. Kemudian pelajar tersebut akan menyampaikan maklumat kepada pelajar yang berikutnya, dan begitulah seterusnya sehingga sampai kepada ahli kumpulan yang terakhir. Ahli kumpulan terakhir akan memberitahu kepada semua tentang maklumat yang telah diterima sama ada bertepatan dengan maklumat yang telah disampaikan pada awal permainan.

 




Di checkpoint ketiga, aktiviti yang dinamakan Rusty Act telah dilakukan. Guru akan memberi kata kunci kepada salah seorang ahli kumpulan, kemudian pelajar tersebut akan menggayakan kata kunci tersebut. Pelajar-pelajar lain akan cuba meneka gaya tersebut. Di checkpoint keempat, pelajar-pelajar cuba menyelesaikan kuiz teka silang-kata. Di setiap checkpoint, semua kumpulan akan mendapat beberapa batang penyedut minuman berdasarkan markah yang diperoleh beserta pita pelekat. Akhir sekali, setiap kumpulan perlu membina menara yang kukuh, cantik dan tinggi dengan menggunakan penyedut minuman tersebut.

Kumpulan 1 telah memenangi pertandingan membina replika menara daripada penyedut minuman. Tahniah diucapkan!🏆🏆





Hari Orientasi 2017 merupakan kenangan manis kepada pelajar-pelajar serta dapat merapatkan silaturrahim semua warga Maahad Tahfiz Al-Iman.


No comments:

Post a Comment