Tuesday 31 January 2017

LAWATAN PERTANIAN: KEBUN INSPIRASI

Oleh: Tingkatan 1, MTI

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم

Pada 20 Januari 2017 (Jumaat), Maahad Tahfiz Al-Iman telah menganjurkan lawatan sambil belajar ke Kebun Inspirasi yang terletak di Tanjung Sedili.

Pada jam 3.00 petang, kami berkumpul di dataran sekolah untuk mendengar taklimat daripada Ustaz Ayub. Selepas itu, kami bergerak ke Rumah Rakyat Johor dengan menaiki kereta dan basikal. Setelah kami semua berkumpul di Rumah Rakyat Johor, kami meneruskan perjalanan kami menuju ke Kebun Inspirasi.

Pada jam 3.30 petang, kami mendengar taklimat daripada pemilik Kebun Inspirasi. Kami diperkenalkan serba sedikit tentang jenis-jenis tumbuhan seperti kelapa sawit, pisang, durian belanda, durian dan sebagainya yang ditanam di kebun itu. Mereka juga menternak haiwan seperti ayam, itik, lembu, kambing, ikan, siput dan sebagainya. Kami juga diingatkan untuk menjaga keselamatan semasa melakukan aktiviti-aktiviti di sana.





Pada jam 4.00 petang, kami bergotong-royong membersihkan Kebun Inspirasi. Selepas itu, kami dibenarkan untuk bermandi-manda dan bermain kayak di kolam ikan yang terdapat di kebun itu. Ada juga pelajar yang bermain basikal sambil menikmati kehijauan alam di kebun itu.






Pada jam 5.30 petang, kami bergotong-royong sekali lagi untuk mengutip sampah, membersihkan kawasan kebun dan menyimpan kayak.

Kami dijamu bubur kacang dan minuman petang pada jam 5.45 petang. Setelah selesai, kami menjalankan aktiviti rentas desa untuk kembali ke Maahad Tahfiz Al-Iman. Perjalanan agak jauh. Kami sampai di asrama pada jam 7.00 malam. Walaupun agak penat, kami berasa seronok kerana dapat belajar untuk menghargai alam semula jadi.

MINGGU KARYAWAN MTI (TINGKATAN 2)

Oleh: Muhammad Hafiz bin Mohamad Faizan, Muhammaf Asraf Danial bin Rusli, Ahmad Idham bin Zaid, Muhammad Iman Nor Hafiz bin Norafandy

CERPEN: KISAH SERAM DI ASRAMA

Saya ingin berkongsi pengalaman saya semasa tinggal di asrama, berjauhan dari keluarga. Pada minggu pertama saya tinggal di asrama, saya berasa gembira dapat berkenalan dengan rakan-rakan baru.

Namun begitu, pada minggu kedua, saya mula berasa tidak selesa terutama sekali apabila waktu malam menjelang. Saya mula diganggu oleh bunyi cakaran di tingkap asrama yang amat menyeramkan. Saya cuba tidak menghiraukan gangguan itu, akan tetapi semakin kuat pula bunyi cakaran tersebut. Saya cuba mengejutkan rakan di sebelah saya, tetapi tiada tindak balas. Saya teringat pesanan ibu bapa, "Jika terasa diganggu syaitan, kita perlu melengkapkan benteng diri dengan bacaan Al-Quran". Mujur saya pelajar tahfiz, segera saya membaca ayat-ayat hafazan. Semakin kuat bacaan yang saya baca, semakin perlahan bunyi cakaran itu.

Pada malam minggu berikutnya, ketika saya hampir melelapkan mata di atas katil, saya terdengar seseorang memanggil-manggil nama saya. Walaupun takut, saya cuba mengabaikan panggilan itu dan cuba memejamkan mata. Ketika mata saya dipejam, tiba-tiba katil saya digoncang dengan kuat berserta bunyi dengusan yang menyeramkan. Saya terbuka mata saya, lalu terpandang seekor lembaga hitam sedang memanjat katil saya. Dalam keadaan panik, saya tersepak lembaga tersebut sehingga terdengar bunyi dentuman seperti nangka busuk jatuh. Saya menjerit sekuat hati. Beberapa rakan terbangun dari tidur apabila mendengar jeritan saya. Rakan-rakan melihat saya sedang ketakutan. Tanpa berlengah lagi, beberapa orang rakan telah pergi melaporkan kejadian tersebut kepada ustaz. Ustaz segera bergegas ke asrama kami. Apabila ustaz sampai, dia segera berusaha untuk menenangkan saya yang sedang ketakutan.

Pada keesokan harinya, saya bercerita kepada rakan-rakan sekelas tentang apa yang berlaku pada malam tadi. Ustaz telah memanggil kami ke surau untuk membaca Al-Quran dan seterusnya menasihati kami agar menjaga kebersihan, akhlak dan ibadat kami supaya peristiwa itu tidak berulang kembali. Sejak itu, saya dan rakan-rakan cuba untuk memperbaiki diri. Keadaan asrama kembali tenang dan saya dapat tidur lena pada waktu malam.

MINGGU KARYAWAN MTI (TINGKATAN 2)

CERPEN: PENGALAMAN SERAM DI ASRAMA

Oleh: Sharul Ramadhan, Deni, Ariffin, Hafiz Rahim, Hakim


Pada suatu malam, Deni Kurniawan sedang melipat baju di aras tiga asrama. Tiba-tiba, Deni ternampak bayangan hitam sedang di hadapan Deni. Pada mulanya Deni menyangkakan itu adalah Sharul Ramadhan, tetapi apabila disiasat, ketika itu Sharul Ramadhan berada di aras satu asrama.

Keesokan harinya, Hakim, Wisam dan Razin sedang berbual-bual di hadapan surau pada jam 12.00 tengah malam. Sedang mereka seronok berbual-bual, mereka ternampak sepasang tangan sedang membuka tingkap di belakang asrama. Hakim dan Wisam memberanikan diri untuk menyiasat. Razin berasa ketakutan, lalu bergegas ke bilik untuk tidur. Hakim dan Wisam bertembung dengan lembaga disebalik pintu di tempat makan.

Selang beberapa hari kemudian, Acap ingin mengejutkan Hakim bangun dari tidurnya. Dia ingin meminta Hakim menemaninya pergi ke tandas. Ketika itu, Acap ternampak kelibat seseorang sedang berlari menembusi dinding. Hakim yang terpinga-pinga bangkit dari tidur, ternampak susuk seorang budak lelaki yang sedang duduk di tepi katilnya. Hakim terkejut. Mereka berdua ketakutan dan tidak dapat tidur pada malam itu.

Pengajaran cerita ini adalah kita perlu berasa takut kepada Allah Taala sahaja dan janganlah kita takut kepada syaitan. Kita perlu meningkatkan ilmu agama kita dan memperbaiki amalan kita.

MINGGU KARYAWAN MTI (TINGKATAN 2)

CERPEN: MISTERI PERKUBURAN CINA
Oleh: Haikal, Amirul, Razin, Shaman, Sharul


Pada malam Sabtu yang lepas, Adib pergi ke Negeri Sembilan untuk melawat kawannya yang sakit. Setelah pulang dari hospital, Adib telah mengambil keputusan untuk melalui jalan alternatif yang agak gelap dan sunyi.

Apabila menghampiri kawasan perkuburan cina lama, Adib berasa tidak sedap hati dan bulu romanya mula meremang. Semasa betul-betul melalui kawasan perkuburan, Adib perasan keretanya menjadi agak berat. Adib menoleh ke belakang dan mendapati seorang perempuan berbaju kotor dan berambut panjang sedang duduk di tempat belakang keretanya. Adib berasa takut. Dia segera membaca ayat Al-Quran. Seketika kemudian, dia menoleh ke belakang lagi. Makhluk itu sudah tiada dan keretanya kembali menjadi ringan. Dia meneruskan perjalanan seperti biasa.

Setibanya di rumah, Adib segera masuk ke dalam biliknya. Ibu Adib kehairanan tapi dibiarkan anaknya itu kerana pada anggapannya Adib sedang keletihan. 

Keesokan paginya, ibu Adib melihat wajah anaknya pucat lesi. Bimbang akan anaknya, ibu Adib bertanya apa yang berlaku. Adib menceritakan semua kepada ibunya. Ibu Adib segera membawa Adib berjumpa Ustaz Amirul. Ustaz Amirul menasihati Adib supaya mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Dia juga membekalkan air yasin untuk memulihkan semangat Adib. Sejak dari peristiwa itu, Adib berusaha untuk menjadi hamba Allah yang bertaqwa.

Monday 30 January 2017

ALBUM MINGGU KE-3 & KE-4








MINGGU KARYAWAN MTI (TINGKATAN 3)

SAJAK
TEMA: MAAHAD TAHFIZ AL-IMAN

KUMPULAN 1
Oleh: Aiman Khuzaimi, Kiraman, Wisam

CITA-CITA KUSEMAI DI MTI

Kawasan yang aman damai di MTI
Suasana kelas yang tenang
Mudahku untuk mempelajari
Ilmu agama yang ku sanjung tinggi.

Ku menuntut ilmu penuh semangat
Tanpa jemu memerah keringat
Untuk menimba ilmu dunia akhirat
Mengenang ibu bapaku menanggung beban
Harusku membalas budi.

Cita-citaku ingin menjadi pemimpin
Tidak mungkin ku akan berputus asa
Menuntut di MTI penuh tumpuan
Agar menjadi mukmin cemerlang selamanya.


KUMPULAN 2
Oleh: Fahmi Imran, Ikhwan, Syafiq

INILAH MAAHAD TAHFIZ AL-IMAN

Maahad Tahfiz Al-Iman
Terletak di Kota Tinggi
Kawasannya di kelilingi tumbuhan hijau
Tersergam indah di Tanjung Sedili.

Penuntut berasa tenang ketika belajar
Berada di kawasan perkampungan
Menghirup udara Lautan Cina Selatan
Jauh dari hiruk-pikuk kesibukan kota raya.

Di Maahad Tahfiz Al-Iman
Kami menimba ilmu agama juga akademik
Tempat belajar berdikari
Juga membina jati diri
Membentuk insan yang berguna.

Di sini 
Kami dididik menjadi remaja mithali
Bekerjasama dan hidup bermasyarakat
Aktiviti riadah juga tidak dilupakan
Agar kami sihat rohani dan jasmani
Bagi melahirkan pemimpin yang berdedikasi.

Berslogankan 'Menjana kupu-kupu syurga'
Inilah Maahad Tahfiz Al-Iman
Majulah agama demi negara tercinta.


KUMPULAN 3:
Oleh: Luqman dan Iyaz Emir

HIJRAHKU DI MAAHAD TAHFIZ AL-IMAN

Di tepian lautan yang indah permai
Di perkampungan yang terpencil
Di jalanan yang berliku
Di bawah naungan awan yang memutih
Dikelilingi tumbuhan menghijau
Hasil keringat kami sendiri
Pabila malam disirami neon kebiruan
Di situlah Maahad Tahfiz Al-Iman teguh berdiri.

Berjauhan kami dari pangkuan ibu bapa
Kehidupan selesa sudah tiada
Bersama rakan perlu berdikari
Susah senang diharungi bersama.

Hijrah ini untuk menuntut ilmu
Ilmu dituntut berteraskan agama
Al-Quran dijunjung
Sunnah dipaut
Agar tidak terkandas di jalanan
Menggapai matlamat menjadi hufaz sejati.


KUMPULAN 4:
Oleh: Danial Syahifie bin Ismanizar
Dibantu oleh: Iyaz Emir

IMPIAN TULUS 

Di kawasan yang tenang
Di perkampungan yang aman
Di sini terletaknya Maahad Tahfiz Al-Iman
Yang disanjung tinggi.

Hidup di asrama bersama sahabat
Hidup berjauhan dari ibu bapa
Susah senang tanpa mereka
Sahabatlah tempat bergantung harap
Dalam mengharungi kehidupan di sini.

Ilmu diajar oleh hati yang suci
Ikhlas menabur bakti
Demi mendidik penuntut yang dahaga ilmu
Bagai lilin membakar diri
Jasamu akan dikenang hingga ke akhir nanti.

Matlamat hidup ingin berjaya
Membalas jasa ibu bapa
Itulah iktikad kami di sini
Doakan kami istiqomah
Semoga impian tulus ini
Diperkenan Ilahi.


Monday 23 January 2017

CUTI DATANG LAGI..

Oleh: Tingkatan 2, MTI

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum w.b.t.

Cuti sekolah hampir tiba. Pelbagai aktiviti telah dirancang bersama keluarga. 

Hakim dan Haziq bercadang pergi ke Bukit Pontian untuk berjumpa kawan-kawan. Amirul akan pergi ke Negeri Sembilan bersama keluarga. Iskandar akan balik kampung di Pontian untuk meraikan ahli keluarganya yang menyambut Tahun Baru Cina dan mendapatkan ang pow di rumah kawan ayahnya. Iman akan melancong ke Pulau Tioman, Pahang. Hafiz akan pulang ke kampung di Pagoh. Ariffin akan bercuti di Cameron Highlands, Pahang. . Ramadhan akan pulang ke  Riau, Indonesia. Idham bercadang untuk pergi ke Kuala Lumpur. Deni akan berjalan-jalan di Johor Bahru, Johor bersama keluarga. Asyraf akan pergi ke Kedah untuk  menziarahi atuknya. Seperti Amirul, Razin juga akan bertandang ke rumah nenek dan sepupunya di Negeri Sembilan. Sharul akan pergi ke Batam, Indonesia untuk membeli-belah di sana. Harris akan pulang ke kampung di Kelantan. Shahman akan bercuti di kampung atuknya di Tronoh, Perak. Haikal dan Hafiz Rahim belum ada perancangan untuk ke mana-mana.

Tak sabar rasanya kami ingin bercuti. Selamat bercuti kawan-kawan.

SAMBUTAN MAULIDURRASUL 1438H

Oleh: Luqman, Fahmi, Aiman, Kiraman, Danial (Tingkatan 3, MTI)

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum w.b.t.

Pada 21 Januari 2017 (Sabtu), Maahad Tahfiz Al-Iman telah menyertai Majlis Sambutan Maulidurrasul 1438H anjuran JKKK Masjid Ar-Raudah, Tanjung Sedili, Kota Tinggi. 

Kami telah bersiap sedia seawal 6.00 pagi. Pada jam 7.00 pagi, kami telah bersarapan di kafeteria secara percuma. Kemudian kami telah menaiki van untuk berkumpul di Jalan Muhammad bagi persediaan perarakan.

Setelah semua wakil dari pelbagai persatuan dan institusi seperti Kumpulan Yaasin Wanita, Kumpulan Al-Helwah, Giat MARA, Sekolah Agama Seri Mahkota dan sebagainya hadir, kami memulakan perarakan sambil berselawat menuju ke Masjid Ar-Raudah, Tanjung Sedili pada jam 8.50 pagi.





Selepas itu, kami berhimpun di perkarangan masjid dan berselawat secara beramai-ramai. Kemudian, kami menikmati minuman ringan sebelum memasuki ruang solat di dalam masjid. Pada jam 9.20 pagi, majlis dimulakan dengan kata-kata aluan dari pihak penganjur. Kemudian diikuti dengan bacaan Al-Quran, surah Al-Jumu'ah dari Saudara Ahmad Faisal bin Amir, wakil dari Maahad Tahfiz Al-Iman.





Seterusnya, bacaan berzanji dari Haji Satar. Para tetamu diminta berdiri dan berselawat sebaik sahaja bacaan berzanji tamat. Majlis dimeriahkan lagi dengan alunan nasyid dari pelajar SMK Tan Sri Jaafar.

Pada jam 11.00 pagi, Ustaz Dr. Abdel Hamid Tahir Al-Umari telah dijemput untuk memberi ceramah agama tentang Maulidurrasul. 

Selepas itu, majlis penyampaian hadiah telah berlangsung. Terdapat tiga kategori yang dipertandingkan iaitu Peserta Teramai, Sepanduk Tercantik dan Perarakan Terbaik. Maahad Tahfiz Al-Iman telah memenangi kategori Peserta Teramai. Alhamdulillah.

Pada jam 12.20 tengah hari, kami telah menikmati jamuan yang disediakan oleh pihak penganjur. Pelajar-pelajar Tingkatan 5 Maahad Tahfiz Al-Iman telah menyumbang tenaga untuk menghidang makanan kepada para tetamu. Setelah majlis bersurai, kami membantu membersihkan kawasan masjid sambil menunggu waktu fardhu zuhur. Kami telah melaksanakan solat zuhur berjemaah di masjid. Pada jam 2.00 petang kami pulang ke asrama.





Sunday 15 January 2017

KEISTIMEWAAN MAAHAD TAHFIZ AL-IMAN, TANJUNG SEDILI, KOTA TINGGI, JOHOR

Oleh: Harraz, Amar, Hafiz, Syukry (Tingkatan 4, MTI)

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum w.b.t.

Di Maahad Tahfiz Al-Iman ini terdapat banyak keistimewaannya yang tersendiri. Di sekolah ini menawarkan dua aliran pembelajaran iaitu tahfiz dan akademik kepada para pelajar. Secara tidak langsung, Maahad Tahfiz Al-Iman dapat melahirkan pemimpin-pemimpin Islam yang berkualiti dan para pelajar dapat berusaha untuk meraih kejayaan di dunia dan di akhirat.

Di samping itu, Maahad Tahfiz Al-Iman juga menyediakan slot aktiviti bersukan termasuk sukan sunnah dan lain-lain lagi pada setiap hari sekolah, jam 5.30 petang hingga 6.30 petang. Pelajar boleh menyertai aktiviti berbasikal, memanah, berkuda, berenang, bola sepak, sepak takraw dan badminton.

Di sini juga kami dapat menimba pengalaman untuk membantu orang susah dari segi kewangan dan juga kesihatan dengan menyertai Program Bantuan Al-Iman.

Selain itu, Maahad Tahfiz Al-Iman menyediakan kemudahan asrama kepada para pelajar. Di sini tempatnya sangat aman damai tanpa gangguan luar. Kami dapat mendirikan solat berjemaah lima waktu sehari semalam bersama-sama rakan-rakan.

Maahad Tahfiz Al-Iman juga menyediakan kemudahan-kemudahan yang lain seperti surau, perpustakaan, perkhidmatan dobi, gerai makanan dan sebagainya. Pelajar juga dibenarkan untuk membawa dan menggunakan telefon bimbit pada waktu yang tertentu dengan kebenaran guru. Telefon bimbit dapat membantu kami untuk menghubungi ibu bapa atau penjaga serta dapat mencari maklumat-maklumat untuk mengulangkaji pelajaran.

Akhir kata, doakan kami berjaya di dunia dan akhirat. Semoga kami dapat meneruskan perjuangan kami untuk menjadi pelajar cemerlang dan sekaligus dapat mengharumkan nama Maahad Tahfiz Al-Iman. Aamiin..

Syukran.

Saturday 14 January 2017

ALBUM MINGGU 1-2



























KELEBIHAN TELEFON BIMBIT

Oleh: Faiz, Azhar, Syadil, Hussin, Aizat, Syafiq (Tingkatan 1, MTI)

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalmualaikum w.b.t.

Kami menyetujui penggunaan telefon bimbit kerana dapat memberi banyak manfaat kepada pelajar. Antara kelebihan telefon bimbit adalah seperti berikut:

1) Dapat mencari maklumat-maklumat penting di laman web  yang berkaitan dengan pelajaran.

2) Boleh memupuk semangat bekerjasama dengan rakan-rakan untuk mencari maklumat semasa belajar secara berkumpulan.

3) Boleh muat turun aplikasi Al-Quran. Hal ini memudahkan kami sebagai pelajar tahfiz untuk menghafaz.

4) Selain itu, kita dapat merakamkan suara kita untuk membaca Al-Quran dan mencari kesilapan untuk diperbaiki.

5) Boleh menggunakan telefon bimbit untuk menentukan arah kiblat.

6) Boleh mencari nota-nota matapelajaran atau contoh-contoh karangan sebagai persediaan bagi menghadapi peperiksaan.

7) Boleh menghubungi ibu bapa apabila berjauhan.

8) Boleh membantu mencari jalan dengan menggunakan GPS untuk pergi ke Maahad Tahfiz Al-Iman. 😁😁😁

Sekian daripada kami. Penggunaan telefon bimbit boleh menyumbang kepada kebaikan sekiranya kita tahu untuk mengawal diri kita. 

Terima kasih.




KEBURUKAN TELEFON BIMBIT


Oleh: Al-Hafiz, Abu, Danish, Zarrief, Ejaz, Zubair, Adam (Tingkatan 1, MTI)

Bismillahrirrahmannirrahim
Assalamualaikum w.b.t.


Dewasa ini, ramai pelajar memiliki telefon bimbit. Namun begitu, majoriti daripada mereka menggunakan telefon bimbit untuk perkara yang sia-sia. Justeru, kami ingin membentangkan beberapa keburukan telefon bimbit, antaranya adalah seperti yang berikut:

1) Boleh menyebabkan mata kita menjadi rabun. 

2) Jika pengurusan masa tidak teratur seperti kurang tidur dan tidak makan akibat bermain telefon bimbit, hal ini akan menyebabkan kesihatan kita akan terjejas.

3) Dengan adanya telefon bimbit, kita malas untus belajar. Kita juga akan hilang tumpuan untuk mengulangkaji pelajaran.

4) Sejak akhir-akhir ini, banyak kes yang melibatkan letupan telefon bimbit akibat menggunakannya ketika ia sedang dicas.

5) Pelajar bawah umur amat tidak digalakkan untuk menggunakan telefon bimbit. Mereka masih mentah untuk menilai baik dan buruk sesuatu perkara.

6) Pelajar akan cenderung untuk lalai untuk mendirikan solat. Jika dia bersolat, akan dilakukan sambil lewa kerana lebih berminat untuk menghadap telefon bimbit.

7) Jika kita gemar mendengar lagu dengan menggunakan earphone yang disambung ke telefon bimbit, berpotensi untuk menyebabkan masalah pendengaran.

8) Jika kita menggunakan telefon bimbit ketika kita menunggang basikal, menunggang motosikal atau memandu kenderaan, boleh menyebabkan kemalangan.

Sekian sahaja pandangan dari kami. Kami berharap pelajar tidak menyalahgunakan penggunaan telefon bimbit, dan gunakanlah untuk kebaikan. 

Terima kasih.

Tuesday 10 January 2017

ANTI BULI

Oleh: Haziq, Acap, Mirul, Hafiz (Tingkatan 2, MTI)

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum w.b.t.





Antara masalah yang kerap berlaku di asrama adalah kes buli. Kami amat tidak menggemari dengan perkara ini. Justeru, kami ingin mencadangkan beberapa langkah yang boleh diambil oleh rakan-rakan bagi mengelakkan kes buli berlaku di Maahad Tahfiz Al-Iman, iaitu:

1- Pelajar-pelajar perlu pandai menjaga adab dan akhlak masing-masing terutama sekali dalam pergaulan bersama rakan-rakan. 

2- Elakkan daripada mengucapkan perkataan yang boleh menyakiti hati rakan-rakan.

3- Elakkan berkawan dengan pembuli.

4- Sentiasa mengingatkan diri dan rakan-rakan untuk berkelakuan baik.

5- Jangan mencetuskan sebarang pergaduhan seperti mengejek nama ibu dan bapa kita.

6- Jangan bergurau kasar dengan rakan-rakan. Hendak bergurau boleh, asalkan tahu batasannya.

7- Menghormati rakan-rakan di sekeliling kita.

8- Sekiranya berlaku kes buli, kita perlu segera melaporkan kepada guru bagi memastikan kes tersebut tidak akan berlarutan atau berulang lagi.

Kami berharap agar pelajar-pelajar di Maahad Tahfiz Al-Iman sentiasa bekerjasama, hormat-menghormati dan bersatu padu bagi membanteras gejala buli di sekolah ini. Ibu bapa telah meletakkan harapan yang tinggi untuk kita terus menuntut ilmu di sini. Semoga kita boleh mengambil langkah berjaga-jaga sebelum perkara yang tidak diingini berlaku.


AKTIVITI GOTONG-ROYONG DI MAAHAD TAHFIZ AL-IMAN

Oleh: Tuan Harris Daniel, Shaman, Shahrul, Abd Razin (Tingkatan 2, MTI)

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum w.b.t.




Pada hari Sabtu yang lepas (7/1/2017), warga Maahad Tahfiz Al-Iman telah menjalankan aktiviti gotong-royong di asrama yang bermula pada jam 9.30 pagi. Semua pelajar telah mengambil bahagian untuk membersihkan tempat-tempat yang ditetapkan. Pelajar-pelajar telah dipecahkan kepada beberapa kumpulan untuk membersihkan surau, tandas, asrama, kelas serta mengutip sampah di seluruh kawasan Maahad Tahfiz Al-Iman. Semangat berkerjasama dan saling membantu antara pelajar telah dapat diterapkan melalui aktiviti ini. 

Pelajar-pelajar yang membersihkan surau telah menyapu dan mencuci lantai serta menyusun rehal dan Al-Quran. Manakala, pelajar-pelajar yang membersihkan asrama telah menyapu lantai, mencuci kipas, mengemas barang-barang dan mengelap tingkap.

Bagi pelajar-pelajar yang ditugaskan untuk membersihkan kelas, mereka telah menyusun meja, mengemas buku, menyapu lantai dan membuang sampah yang terkumpul di dalam tong sampah. Di kawasan tandas pula, sekumpulan pelajar telah mencuci mangkuk tandas, membersihkan sinki, mencuci lantai tandas dan menolak air yang bertakung di atas lantai sehingga kering. 

Pelajar-pelajar yang ditugaskan untuk membersihkan di sekeliling Maahad Tahfiz Al-Iman telah mengutip sampah di kawasan hadapan pejabat, di dataran, di dalam longkang dan di sekitar padang bola sepak. Terdapat juga sebahagian pelajar yang membantu guru-guru untuk membersihkan pejabat, mengangkat kotak-kotak kosong dan mengumpul sampah untuk dibuang ke dalam tong sampah. Kira-kira pada jam 11.00 pagi, semua pelajar telah menyiapkan segala tugasan yang diamanahkan. 

Pada jam 12 tengah hari, pelajar-pelajar dikehendaki untuk berkumpul di dataran. Guru-guru telah memeriksa kawasan-kawasan yang telah dibersihkan oleh pelajar-pelajar. Setelah guru-guru berpuas hati dengan hasil kerjasama dari semua pelajar, guru-guru mengucapkan jutaan terima kasih kepada pelajar sebagai tanda penghargaan.

Kami berharap aktiviti gotong-royong ini kerap diadakan di sekolah ini bagi memastikan pelajar-pelajar sentiasa sihat dan selesa untuk menjalankan aktiviti harian di Maahad Tahfiz Al-Iman. 

LANGKAH CADANGAN BAGI MEMPERBAIKI AKHLAK REMAJA

Oleh: Hakim, Idham, Iman dan Daniel (Tingkatan 2, MTI)


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum w.b.t.



Sikap menghormati ibu bapa, guru-guru, orang lebih dewasa, rakan-rakan sebaya dan kanak-kanak kecil seakan terhakis di kalangan remaja pada masa kini. Masalah keruntuhan akhlak remaja juga semakin merunsingkan. Seharusnya perkara ini tidak boleh dipandang remeh oleh semua pihak. Kita perlu sama-sama berganding bahu bagi mengatasi masalah ini. 

Di kesempatan ini, kami ingin mencadangkan beberapa langkah yang boleh diambil oleh diri kami sendiri dan rakan-rakan seperjuangan bagi memperbaiki akhlak kita sebagai remaja.

1- Langkah pertama - Kita perlu menjaga adab dari segi percakapan dan kelakuan kita. Kita perlu berfikir dahulu sebelum membuat sebarang tindakan. Pastikan tindakan yang kita ambil adalah sopan dan berlandaskan syariat Islam. Contohnya, menjaga adab berkata-kata ketika bercakap dengan guru-guru dan rakan-rakan ketika berbual.

2- Langkah kedua - Kita hendaklah sentiasa menghormati orang di sekeliling kita sama ada ibu bapa, guru-guru, warga emas, rakan-rakan dan kanak-kanak. Tunjukkan rasa hormat dengan menggunakan bahasa pertuturan yang elok apabila berbual dengan mereka. Kita juga tidak menggunakan sebarang kekasaran dalam pergaulan kita bersama mereka.

3- Langkah ketiga - Kita hendaklah sentiasa mengingati Allah S.W.T. yang telah memberi peluang kepada kita untuk bernafas dunia ini. Sentiasa lembutkan lidah dengan berzikir agar kita dapat mengurangkan percakapan dan perbuatan yang tidak berfaedah.

4- Langkah keempat - Kita perlu menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Kita perlu menjaga aurat seperti yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T.

5. Langkah kelima - Sentiasa menjaga solat lima waktu sehari semalam serta perkara-perkara wajib yang telah diperintahkan oleh Allah Taala. Selain itu, kita perlu menambah amalan-amalan sunat bagi membentuk jati diri sebagai orang Islam yang bertakwa.

6. Langkah keenam - Sentiasa bersabar apabila diuji oleh keadaan persekitaran. Contohnya, jika ada rakan mengejek, sebagai remaja yang berakhlak mulia, kita tidak akan bertindak melulu seperti bertumbuk dan sebagainya. Sebaliknya, kita akan cuba menasihati rakan dengan sopan dan penuh kesabaran. 

7. Langkah ketujuh -Bijak memilih kawan. Dalam dunia remaja, pengaruh rakan sebaya amat kuat dalam membentuk peribadi kita. Jika kita ingin menjadi orang yang baik, kita hendaklah sentiasa bergaul dengan pelajar yang baik dan berakhlak mulia.  

Demikian sahaja cadangan kami bagi memperbaiki akhlak remaja. Pepatah melayu lama ada mengatakan:

         "Yang kurik itu kundi, yang merah itu saga. Yang baik itu budi, yang indah itu bahasa."

Semoga perkongsia kami ini dapat memberi manfaat kepada para pembaca. Doakan kami dapat istiqomah dalam memperbaiki akhlak kami dan seterusnya dapat menjadi orang yang berjaya di dunia dan di akhirat.





CARA-CARA UNTUK MENGATASI MASALAH KECURIAN/KEHILANGAN DUIT DI ASRAMA

Oleh: Arifin, Hafiz, Shahrul, Deni, Iskandar (Tingkatan 2, MTI)

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum w.b.t.


Setiap kali pelajar dihantar pulang ke asrama, ibu bapa atau penjaga akan memberikan sejumlah wang kepada pelajar sebagai bekalan untuk berdikari tanpa perlu meminjam daripada rakan-rakan yang lain. Kehilangan duit sering berlaku di asrama pelajar terutama sekali pada waktu malam. Justeru, pelbagai cara perlu dibincangkan untuk mengatasi dan mencegah kes kecurian/kehilangan duit para pelajar. 

Berikut adalah beberapa cara yang boleh dipraktikkan oleh para penghuni asrama bagi mengelakkan wang anda hilang atau dicuri oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

1) Tidak Cuai
Kita hendaklah sentiasa berhati-hati dan tidak cuai untuk menjaga wang yang telah diberikan ibu bapa atau penjaga. Kita hendaklah tidak meletakkannya di merata-rata tempat, yang mana rakan-rakan boleh nampak wang tersebut.

2) Simpan di Tempat yang Selamat
Kita perlu menyimpan wang tersebut di tempat yang tersembunyi, selamat dan tidak ketahui oleh rakan-rakan asrama.

3) Meminta Bantuan Guru
Selain daripada itu, pelajar-pelajar digalakkan untuk meminta bantuan guru-guru seperti guru kelas, guru disiplin dan guru bertugas untuk menyimpan wang saku.

4) Tidak Memberitahu Rakan-rakan
Pelajar juga perlu mengelakkan diri daripada memberitahu rakan-rakan tentang jumlah yang berada dalam simpanan kita. Jangan cepat mempercayai rakan-rakan tanpa mengetahui asal-usul mereka yang sebenar.

5) Saling Memperingatkan dan Nasihat-Menasihati
Di samping itu, pelajar boleh menasihati diri sendiri dan rakan-rakan yang lain tentang keburukan mencuri. Allah S.W.T. amat menegah perbuatan mencuri hak orang lain. Oleh itu, kita perlu sentiasa berdoa agar Allah S.W.T. sentiasa mengawal diri kita dan rakan-rakan yang lain dari perbuatan yang keji terutama sekali mencuri serta melindungi keselamatan diri dan harta benda kita semua.

Akhirulkalam, kita sebagai umat Islam dan juga hamba Allah, kita hendaklah melakukan apa yang diperintahkan dan hendaklah meninggalkan segala larangan-Nya. Hukum mencuri adalah haram. Sekiranya kita mengambil hak orang lain, akan menyebabkan pelajar tersebut tidak mempunyai wang untuk membeli barang keperluan. Kita sebagai pelajar di sekolah tahfiz perlu menjadi contoh kepada remaja-remaja lain di luar sana.

Sekian terima kasih.


PERLAWANAN PERSAHABATAN FUTSAL

Oleh: Fahmi Imran bin Azahari, Salleh bin Hamzah, Wisam bin Abdel Hamid, Danial Syahifie bin Noor Ismanizar, Khairul Ikhwan bin Khairul Hamizi (Tingkatan 3, MTI)


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum w.b.t


Pada 7 Januari 2017 (Sabtu) yang lalu, sekolah kami telah menghantar 2 pasukan untuk menghadiri perlawanan persahabatan futsal kali pertama antara Maahad Tahfiz Al-Iman dengan Pasukan Anak Jati Sedili. Perlawanan tersebut telah diadakan di Gelanggang Futsal, Dataran Tanah Putih, Tanjung Sedili. 

Pusingan pertama perlawanan telah bermula kira-kira pada jam 5 petang yang melibatkan wakil dari Maahad Tahfiz Al-Iman bagi kategori Tahap Menengah Rendah menentang Pasukan Anak Jati Sedili. Pusingan ini telah dimenangi oleh wakil dari sekolah kami dengan kemenangan 2 gol berbalas 1. Dalam pusingan kedua, pasukan kami telah ditewaskan oleh pasukan lawan dan kemudiannya telah digantikan oleh wakil dari Maahad Tahfiz Al-Iman, kategori Tahap Menengah Atas. Dalam pusingan ketiga ini, pasukan kami telah berjaya menewaskan pihak lawan melaui sepakan penalti. Perlawanan tamat kira-kira pada jam 6.30 petang.






Pada masa yang sama, Ustaz Ayub sedang membuat pemerhatian bagi pemilihan pemain-pemain yang berkebolehan untuk mewakili Maahad Tahfiz Al-Iman dalam sukan futsal pada masa akan datang.

Walaupun kami penat bermain futsal, kami berasa amat gembira kerana dapat meluangkan masa bersama penduduk kawasan Tanjung Sedili. Kami berharap, perlawanan persahabatan futsal ini dapat diadakan lagi pada bulan hadapan bagi merapatkan silaturrahim yang telah terjalin.