Sunday 19 February 2017

PROGRAM SEPETANG BERSAMA MTI-DR. RASHID, UTM

Oleh: Tingkatan 5, MTI


بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم


Pada 17 Februari 2017 (Jumaat), pihak Maahad Tahfiz Al-Iman telah menjemput Dr. Rashid dari Universiti Teknologi Malaysia untuk memberi motivasi kepada pelajar-pelajar Tingkatan 5 sempena program Sepetang Bersama MTI. Program tersebut diadakan pada jam 5.00 petang di Kelas Tingkatan 5.



Dalam program tersebut, pelajar-pelajar diberi peringatan tentang peperangan yang sedang berlaku mutakhir ini seperti di Yaman, Syria dan sebagainya. Selain daripada itu, Dr. Rashid telah memperkenalkan beberapa orang tokoh Islam yang terkenal pada masa ini, contohnya Ustaz Syuaib (Amerika Syarikat), Professor Arthur Allison, Sheikh Ali Jaber, Kapten Hafiz Firdaus dan lain-lain. Mereka amat komited mendalami Islam dan menyebarkan dakwah.



Dr. Rashid telah memberikan kata hikmah yang amat terkesan di hati iaitu, 'Hidup perlu ada perjuangan, hidup ini ada 'urusan' yang perlu diselesaikan'. Beliau juga menasihati agar berhati-hati merancang kehidupan. Pastikan rancangan tersebut memberi manfaat dunia dan akhirat. Untuk merancang, kita perlu ada 'sasaran@tujuan' yang jelas. Tujuan akan terhasil sekiranya niat kita untuk mencapai sesuatu adalah jelas. 



Selepas itu, pelajar diminta untuk menulis objektif hidup yang terdiri daripada objektif jangka pendek dan objektif jangka panjang. Pelajar juga dikehendaki untuk mencatat perancangan bagaimana untuk mencapai objektif-objektif tersebut. Sebagai tugasan, pelajar-pelajar perlu menyediakan jadual waktu bagi memastikan objektif tersebut dapat direalisasikan. Seterusnya, pelajar-pelajar perlu mematuhi jadual yang telah dirancang.



Dr. Rashid juga telah menyampaikan beberapa pesanan, antaranya:

1. Agar kita menjadi hamba Allah yang bertaqwa
2. Mentaati ibu bapa
3. Perlu sentiasa belajar dari mereka yang lebih tahu
4. Berdisiplin menjaga waktu
5. Merancang untuk BERJAYA
6. Sentiasa ingin melakukan yang terbaik dalam apa jua kerja.


In shaa Allah, beliau akan datang lagi ke Maahad Tahfiz Al-Iman dalam masa yang terdekat. Terima kasih, Dr. Rashid atas pesanan dan nasihat.



Sekian, terima kasih.






No comments:

Post a Comment