Tuesday 7 February 2017

LAWATAN KE PERKAMPUNGAN ORANG ASLI

Oleh: Hakim (Tingkatan 2), Ikhwan (Tingkatan 4)


بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم


Pada 4 Februari 2017 yang lalu, pihak Maahad Tahfiz Al-Iman telah menyertai program Lawatan ke Perkampungan Orang Asli, Sungai Selangi. Lawatan ini dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). Seramai 10 orang pelajar iaitu Amirul, Deni, Syukry, Harraz, Luqman, Khairul Ikhwan, Hafiz, Eizmee, Waeil dan Abu Sufian berserta 4 orang guru pengiring iaitu Ustaz Ayub, Ustaz Alif, Ustaz Fa'izan dan Ustaz Imran telah terlibat dalam program ini. Selain daripada itu, pasukan RELA, Ketua Balai Polis Daerah Kota Tinggi, Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) turut menyertai dalam lawatan ini. Majlis Perasmian telah dimulakan dengan ucapan dari YB Razman dan seterusnya beliau telah merasmikan program ini.






Antara aktiviti-aktiviti yang telah dianjurkan ialah aktiviti menanam pokok, bergotong-royong membersihkan surau, pemeriksaan kesihatan dan berbasikal. Sehari sebelum lawatan, terdapat aktiviti-aktiviti lain yang telah dijalankan di perkampungan Orang Asli iaitu aktiviti mewarna, sukaneka dan membuat pakaian menggunakan surat khabar. Aktiviti-aktiviti tersebut telah disertai oleh penduduk kampung Orang Asli dan masyarakat sekitar.






Pihak JAIJ mengambil peluang untuk menderma sebanyak RM 115,000.00 kepada penduduk kampung Orang Asli sebagai bantuan pendidikan untuk anak-anak Orang Asli. Di kesempatan itu juga, Tok Batin telah dihadiahi jersi bola untuk pasukan bola Orang Asli. 

Dengan adanya program seperti ini, dapat mengeratkan hubungan antara penduduk kampung Orang Asli dengan masyarakat sekitar dengan cara bersama-sama membuat pelbagai aktiviti. Di samping itu, dapat berkenalan antara satu sama lain serta mendalami cara hidup masyarakat Orang Asli yang sebenar. Orang Asli sangat pemalu, justeru dengan adanya program seperti ini dapat menyangkal persepsi penduduk kampung Orang Asli yang menyangka mereka dipinggirkan oleh masyarakat sekitar yang majoritinya beragama Islam.

Lawatan ini merupakan kejayaan pihak JAKOA dan ini mendorong pihak mereka untuk menganjurkan program yang seterusnya iaitu Program Lawatan ke KLCC Bersama Orang Asli. Alhamdulillah dan ucapan tahniah kepada pihak JAKOA atas usaha murni mereka.

Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment