Wednesday 29 March 2017

LAWATAN SAMBIL BELAJAR DI JABATAN PENYIARAN KAWASAN SELATAN, JOHOR BAHRU

Oleh: Alfaiz, Adam dan Zarrief (Tingkatan 1, MTI)

Pada 28 Mac 2017 (Selasa), para pelajar Maahad Tahfiz Al-Iman telah menyertai lawatan sambil belajar di Jabatan Penyiaran Kawasan Selatan, Johor Bahru dengan diiringi oleh 7 orang guru. Objektif utama lawatan ini dianjurkan adalah untuk mendedahkan kepada pelajar tentang dunia kewartawanan.

Kami telah berkumpul mengikut kumpulan masing-masing di hadapan Pejabat Maahad Tahfiz Al-Iman pada jam 7.00 pagi. Mudir Maahad Tahfiz Al-Iman, Ustaz Kamarudin telah memberikan sedikit taklimat tentang program yang akan dijalankan. Pada jam 7.20 pagi, kami telah memulakan perjalanan ke RTM Johor dengan menaiki bas. 

Pada jam 9.15 pagi, kami telah tiba di perkarangan bangunan RTM Johor. Kami telah dijemput oleh pihak RTM Johor untuk bersarapan pagi di kafeteria. 




Setelah kami selesai bersarapan, En Hisyam telah membawa kami ke Dewan Auditorium. Di sini, DJ Azura telah memberikan sedikit ucapan aluan kepada pihak Maahad Tahfiz Al-Iman. Selepas itu, DJ Azura telah membahagikan para pelajar kepada dua kumpulan. Hal ini kerana bilik konti terhad untuk 30 orang sahaja. 




Kumpulan Pertama telah dibawa melawat ke konti di mana DJ Cik Ros sedang bertugas. Para pelajar telah diberikan sedikit penerangan tentang peralatan yang digunakan oleh DJ untuk bersiaran secara langsung melalui radio. Ustaz Faizan, Ustaz Imran dan Saudara Syahid (pelajar Tingkatan 3) telah diberi peluang untuk mencuba menjadi DJ selama 10 minit.

Selepas itu, DJ Nurul telah membawa Kumpulan Pertama kembali ke Dewan Auditorium untuk memberi laluan kepada Kumpulan Kedua untuk melawat konti DJ. Saudara Joze, Saudara Faisal dan Saudara Wa'iel (Tingkatan 5) telah dijemput untuk bersiaran secara langsung ke udara selama 5 minit. 





Kemudian, semua pelajar telah berkumpul di Dewan Auditorium untuk sesi soal jawab bersama DJ Nurul. Pelbagai soalan telah dilontarkan oleh pelajar-pelajar. Antaranya, berapa gaji seorang DJ, bilakah RTM ditubuhkan, berapa jumlah staf di RTM Johor, apakah kriteria yang diperlukan untuk menjadi seorang DJ, apakah cabaran yang dihadapi oleh seorang wartawan, dan sebagainya. DJ Nurul telah menjawab dengan ramah mesra.









Pada  jam 12 tengah hari, kami telah meminta izin mengundur diri bagi mengejar masa untuk bergerak ke Jabatan Laut Wilayah Selatan. Di kesempatan itu, pihak Maahad Tahfiz Al-Iman telah memberi cenderahati kepada pihak RTM Johor. Jutaan terima kasih kepada pihak RTM Johor, terutama sekali DJ Nurul, DJ Azura, Saudari Mia, DJ Cik Ros, En. Hisyam dan staf-staf bahagian teknikal. 






No comments:

Post a Comment