Tuesday 11 July 2017

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم

Pada 19 Mac 2017 (Ahad) hingga 21 Mac 2017 (Selasa), Maahad Tahfiz Al-Iman telah menganjurkan Kem Jati Diri dan Kepimpinan 2017 yang telah diselia oleh Syarikat Gen 4 Solution. Seramai 25 pelajar telah terpilih untuk menyertai program ini.

Pada hari pertama, semua pelajar berkumpul pada jam 3.00 petang di Surau Allahuakbar, Maahad Tahfiz Al-Iman. Ustaz Ayub telah menyemak kehadiran para peserta. Selepas itu, pihak Gen 4 Solution telah menyampaikan taklimat ringkas tentang kem yang akan dijalankan. Kami dibahagikan kepada 5 kumpulan.

Setelah menunaikan solat fardhu asar, para peserta berkumpul di dataran surau untuk sesi suai kenal bersama pihak urusetia. Setiap peserta dikehendaki memperkenalkan diri serta mengulang nama peserta-peserta lain disertai dengan trademark masing-masing. Kemudian, kami menjalani aktiviti riadah.

Selepas mandi dan mempersiapkan diri, kami bersolat maghrib secara berjemaah dan membaca Al-Quran. Kemudian, kami menikmati makan malam diikuti dengan solat isyaberjemaah.
Setelah selesai, kami berkumpul di dalam kelas mengikut kumpulan masing. Kami diberi tugasan untuk melakarkan seekor haiwan yang mempunyai sifat dari 7 jenis haiwan. Kami diminta untuk membentangkan kelebihan dan kekurangan lakaran haiwan tersebut. Kami dapat bekerjasama dalam kumpulan, merapatkan ukhuwah, menjana kreativiti serta memupuk sifat berkeyakinan tinggi. Selepas itu, kami bersolat witir dan tidur.

Pada hari kedua, kami bangun seawal 5.30 pagi untuk bersolat subuh berjemaah dan membaca Al-Quran. Pihak urusetia telah memberikan tazkirah ringkas sebelum kami dibenarkan untuk bersarapan dan berehat sehingga 8.30 pagi

Pada jam 8.35 pagi, kami telah menyertai aktivitiExplore Race’. Terdapat 5 checkpoints yang kami perlu lawati dan menyelesaikan masalah. Kumpulan 1 telah menjuarai aktiviti tersebut.

Selepas menunaikan solat fardhu zuhur, kami bergerak ke pantai berdekatan pada jam 2.15 petang. Setelah tiba, kami beratur mengikut kumpulan masing-masing. Kami diminta untuk menulis perkataan-perkataan negatif. Kami juga diminta untuk mencari nama ahli kumpulan dalam keadaan kaki terikat. Selepas itu, kami bermain bola beracun secara liga. Kumpulan 5 telah memenangi slot pada petang tersebut. Kami dibenarkan untuk mandi di pantai sehingga jam 5.00 petang dan pulang ke Maahad Tahfiz Al-Iman. Kami bersolat asar berjemaah di atas rumput yang bersih. Kemudian, kami bermain permainanWater War’  dan beriadah.

Selepas mandi dan mempersiapkan diri, kami bersolat maghrib secara berjemaah dan membaca Al-Quran. Kemudian, kami menikmati makan malam diikuti dengan solat isyaberjemaah.

Seterusnya, kami berkumpul di dalam kelas untuk menjalani aktiviti kapal terbang kertas dan pijak sepapan telur tanpa pecah. Kami dapat berfikir secara kreatif dan memupuk sifat berkeyakinan tinggi serta percaya pada diri sendiri. Selepas itu, kami bersolat witir dan tidur.

Pada hari ketiga, kami bangun seawal 5.30 pagi untuk bersolat subuh berjemaah dan membaca Al-Quran. Pihak urusetia telah memberikan tazkirah ringkas. Selepas bersarapan, kami berkumpul di padang mengikut kumpulan. Kami diminta untuk membuat bentuk bintang dengan menggunakan tali mengikut kehendak pihak urusetia. Kami mengambil masa satu jam setengah bagi menyelesaikan masalah tersebut mengikut kreativiti kami sendiri. Aktiviti ini melatih kami untuk bekerjasama, berusaha tanpa jemu, bersabar dan tidak mudah berputus asa.

Pada jam 10.30 pagi, kami berkumpul di surau bagi melaksanakan Majlis Penutup Kem Jati Diri dan Kepimpinan 2017. Selepas pihak urusetia memberikan ucapan sepatah dua kata, seramai 15 orang peserta yang terpilih telah dilantik secara rasmi sebagai pengawas. Manakala 10 orang peserta telah dilantik menjadi ketua kelas dan perpustakawan. Para peserta juga diberikan cenderahati mengikut aktiviti yang telah dijalankan sepanjang kem berlangsung. Pada jam 12.30 tengah hari, majlis bersurai. Alhamdulillah.

Friday 7 April 2017

LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE JABATAN LAUT WILAYAH SELATAN, PTP

Oleh: Joze Nayoan, Ahmad Eizmee Adha, Ahamd Faisal, Muhammad Farriez Eizat (Tingkatan 5, MTI)

Pada 28 Mac 2017 (Selasa), para pelajar Maahad Tahfiz Al-Iman telah berkumpul mengikut kumpulan di perkarangan  Jabatan Laut Wilayah Selatan, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah, Johor mengikut kumpulan untuk diberi taklimat oleh mudir, Ustaz Kamarudin bin Katimin. Kami diarahkan untuk mematuhi etika dan menjaga tingkah laku selama berada di sana. Setelah itu, kami dijemput untuk memasuki dewan di dalam bangunan Jabatan Laut Wilayah Selatan. Kehadiran kami disambut oleh beberapa pegawai di sana dengan penuh ramah mesra.






Sebagai pembukaan, Tuan Abdul Rahman telah memberi ucapan aluan dan sedikit penerangan tentang peranan Jabatan Laut Wilayah Selatan. Majlis diteruskan dengan ucapan Tuan Shahbudin yang menerangkan, beberapa undang-undang perkapalan yang perlu dipatuhi untuk para pelaut sama ada dalam negara atau antarabagsa. Selepas itu, Tuan Shahbudin telah mengadakan soal jawab tentang perkapalan kepada para pelajar dan juga para guru Maahad Tahfiz Al-Iman.





Setelah selesai sesi soal jawab, kami dijemput untuk melawat ke kapal pengawal bagi Wilayah Selatan Johor untuk menunjukan beberapa fungsi alatan yang ada di kapal tersebut. Terdapat 2 pegawai yang menjadi penunjuk ajar kepada para pelajar Maahad Tahfiz Al-Iman yang mana mereka mengajar cara untuk mengawal dan memandu kapal laut. Kami juga diberi kesempatan untuk melihat struktur kabin kapal dan juga di bahagian enjin kapal.

Pada jam 4.40 petang kami berkumpul untuk bersiap sedia ke surau Jabatan Laut Wilayah Selatan bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai muslim iaitu solat Asar secara berjemaah yang diimamkan oleh Ustaz Shahrul. Kami bertolak pulang ke Maahad Tahfiz Al-Iman sejurus selepas selesai solat.

Pada jam 6.30 petang, kami telah tiba di perkarangan Maahad Tahfiz Al-Iman. Kami berasa gembira kerana dapat mengunjungi ke tempat-tempat yang belum pernah kami lawati dan menimba banyak ilmu pengetahuan baru. Pada masa yang sama, kami juga berasa tidak puas untuk pergi ke tempat-tempat seperti ini. Kami berharap agar pihak Maahad Tahfiz Al-Iman akan menganjurkan lebih banyak lawatan-lawatan ke tempat-tempat yang menarik pada masa akan datang.

Jazakumullahu khairan kathiran.