Menyampaikan maklumat-maklumat berkenaan Maahad Tahfiz Al-Iman, melaporkan tentang aktiviti-aktiviti pelajar sepanjang tahun persekolahan, dan berkongsi ilmu-ilmu pengetahuan am
Monday, 27 February 2017
Wednesday, 22 February 2017
MAJLIS PENUTUPAN BULAN FEBRUARI 2017
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم
السلام عليكم
Pada 22 Februari 2017 (Rabu), pihak Maahad Tahfiz Al-Iman telah mengadakan Majlis Penutupan Bulan Februari 2017 di surau pada jam 3.00 petang sempena cuti hujung bulan MTI.
Majlis dimulakan dengan ucapan kata-kata aluan oleh pengerusi majlis, Saudara Ahmad Faisal bin Mohamed Amir, pelajar Tingkatan 5. Majlis diteruskan dengan ucapan dari Mudir MTI, Ustaz Kamarudin bin Katimin. Pelbagai teguran dan nasihat yang telah disampaikan oleh beliau. Majlis dirancakkan lagi dengan ucapan dan peringatan dari Ustaz Ayub. Seterusnya, Ketua Pelajar iaitu Saudara Waiel bin Abdul Hamid telah dijemput untuk memberikan sepatah dua kata.
Saat yang ditunggu-tunggu oleh para pelajar telah tiba iaitu Majlis Penyampaian Hadiah Bulan Februari 2017. Anugerah Hafazan Terbanyak bulan ini telah dirangkul oleh Abu Sufian bin Jamaludin (F1), Deni Kurniawan (F2), Fahmi Imran bin Azahari (F3), Mohammad Hafiz bin Ahmad (F4) dan Muhammad Yunus bin Mohammad Samsudi (F5).
Majlis dimeriahkan lagi dengan penyampaian sijil Anugerah Pelajar Terbaik (Akademik) bulan Februari 2017. Senarai nama pelajar yang telah berjaya adalah seperti berikut iaitu Ahmad Zubair bin Mohd Sadon (F1), Muhammad Hafiz bin Mohd Faizan (F2), Mohamed Luqmanul Hakim bin Thaha (F3), Mohammad Hafiz bin Ahmad (F4) dan Ahmad Faisal bin Mohamed Amir (F5).
Kemuncak majlis adalah penyampaian hadiah bagi Pertandingan Futsal peringkat Maahad Tahfiz Al-Iman 2017. Semua peserta menerima sijil penyertaan yang terdiri dari Kumpulan Luqman, Kumpulan Syukry, Kumpulan Joze dan Kumpulan Eizmee. Manakala tempat keempat dimenangi oleh Kumpulan Amar, tempat ketiga dimenangi oleh Kumpulan Harraz, naib johan dimiliki oleh Kumpulan Syahmi Akmal dan johan dianugerahkan kepada Kumpulan Fahmi Imran. Alhamdulillah, tahniah diucapkan kepada para pelajar.
Seramai 20 orang pelajar telah dilantik menyertai barisan kepimpinan pelajar. Mereka dijemput untuk mengambil surat perlantikan sebagai pengawas di hadapan para pelajar. Semoga mereka berjaya melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan amanah dan berdedikasi.
Majlis ditutup dengan Solat Asar berjemaah.
Jazakumullahu khairan kathiran.
Sunday, 19 February 2017
PERTANDINGAN FUTSAL PERINGKAT MAAHAD TAHFIZ AL-IMAN
Oleh: Tingkatan 4, MTI
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم
Pada 18 Februari 2017 (Sabtu), pihak Maahad Tahfiz Al-Iman telah menganjurkan pertandingan futsal yang melibatkan semua pelajar di sekolah ini. Seminggu sebelum pertandingan, seramai 8 orang pelajar telah dilantik menjadi kapten pasukan. Mereka dipertanggungjawabkan untuk mengundi nama-nama pelajar secara rawak bagi memilih ahli pasukan masing-masing. Pelbagai persiapan dan latihan telah dilakukan oleh setiap pasukan sepanjang minggu.
Pada hari kejadian, semua pelajar dikehendaki berkumpul di dataran sekolah pada jam 8.00 pagi. Dengan bantuan Ustaz Azahari, Ustaz Imran dan Ustaz Fa'izan, pelajar-pelajar di bawa ke Gelanggang Futsal Legaran Tanah Putih, Tanjung Sedili. Pertandingan futsal dilaksanakan mengikut format liga dan bermula secara rasmi pada jam 8.30 pagi.
4 kumpulan telah berjaya masuk ke peringkat separuh akhir iaitu Kumpulan Harraz, Kumpulan Amar, Kumpulan Fahmi dan Kumpulan Syahmi Akmal.
Kumpulan Fahmi dan Kumpulan Syahmi Akmal telah berjaya memasuki peringkat akhir dan perlawanan dimenangi oleh Kumpulan Fahmi dengan mata 1-0 hasil sumbangan sepakan gol dari Asraf Danial. Pertandingan telah tamat pada jam 12.30 tengah hari. Tahniah diucapkan kepada para pemenang.
Selepas itu, guru-guru telah mencabar pelajar-pelajar untuk bermain futsal dengan mereka. Beberapa wakil pelajar telah menyahut cabaran tersebut. Pertandingan khas itu telah dimenangi oleh pasukan pelajar dengan jaringan gol 2-0. Kami pulang ke Maahad Tahfiz Al-Iman pada jam 1.00 tengah hari untuk persiapan menunaikan solat fardhu Zohor.
Dengan adanya program seperti ini, kami dapat merapatkan silaturrahim dengan guru-guru dan sesama pelajar.
Sekian, terima kasih.
PROGRAM SEPETANG BERSAMA MTI-DR. RASHID, UTM
Oleh: Tingkatan 5, MTI
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم
Pada 17 Februari 2017 (Jumaat), pihak Maahad Tahfiz Al-Iman telah menjemput Dr. Rashid dari Universiti Teknologi Malaysia untuk memberi motivasi kepada pelajar-pelajar Tingkatan 5 sempena program Sepetang Bersama MTI. Program tersebut diadakan pada jam 5.00 petang di Kelas Tingkatan 5.
Dalam program tersebut, pelajar-pelajar diberi peringatan tentang peperangan yang sedang berlaku mutakhir ini seperti di Yaman, Syria dan sebagainya. Selain daripada itu, Dr. Rashid telah memperkenalkan beberapa orang tokoh Islam yang terkenal pada masa ini, contohnya Ustaz Syuaib (Amerika Syarikat), Professor Arthur Allison, Sheikh Ali Jaber, Kapten Hafiz Firdaus dan lain-lain. Mereka amat komited mendalami Islam dan menyebarkan dakwah.
Dr. Rashid telah memberikan kata hikmah yang amat terkesan di hati iaitu, 'Hidup perlu ada perjuangan, hidup ini ada 'urusan' yang perlu diselesaikan'. Beliau juga menasihati agar berhati-hati merancang kehidupan. Pastikan rancangan tersebut memberi manfaat dunia dan akhirat. Untuk merancang, kita perlu ada 'sasaran@tujuan' yang jelas. Tujuan akan terhasil sekiranya niat kita untuk mencapai sesuatu adalah jelas.
Selepas itu, pelajar diminta untuk menulis objektif hidup yang terdiri daripada objektif jangka pendek dan objektif jangka panjang. Pelajar juga dikehendaki untuk mencatat perancangan bagaimana untuk mencapai objektif-objektif tersebut. Sebagai tugasan, pelajar-pelajar perlu menyediakan jadual waktu bagi memastikan objektif tersebut dapat direalisasikan. Seterusnya, pelajar-pelajar perlu mematuhi jadual yang telah dirancang.
Dr. Rashid juga telah menyampaikan beberapa pesanan, antaranya:
1. Agar kita menjadi hamba Allah yang bertaqwa
2. Mentaati ibu bapa
3. Perlu sentiasa belajar dari mereka yang lebih tahu
4. Berdisiplin menjaga waktu
5. Merancang untuk BERJAYA
6. Sentiasa ingin melakukan yang terbaik dalam apa jua kerja.
In shaa Allah, beliau akan datang lagi ke Maahad Tahfiz Al-Iman dalam masa yang terdekat. Terima kasih, Dr. Rashid atas pesanan dan nasihat.
Sekian, terima kasih.
Subscribe to:
Posts (Atom)