Monday, 23 January 2017

SAMBUTAN MAULIDURRASUL 1438H

Oleh: Luqman, Fahmi, Aiman, Kiraman, Danial (Tingkatan 3, MTI)

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum w.b.t.

Pada 21 Januari 2017 (Sabtu), Maahad Tahfiz Al-Iman telah menyertai Majlis Sambutan Maulidurrasul 1438H anjuran JKKK Masjid Ar-Raudah, Tanjung Sedili, Kota Tinggi. 

Kami telah bersiap sedia seawal 6.00 pagi. Pada jam 7.00 pagi, kami telah bersarapan di kafeteria secara percuma. Kemudian kami telah menaiki van untuk berkumpul di Jalan Muhammad bagi persediaan perarakan.

Setelah semua wakil dari pelbagai persatuan dan institusi seperti Kumpulan Yaasin Wanita, Kumpulan Al-Helwah, Giat MARA, Sekolah Agama Seri Mahkota dan sebagainya hadir, kami memulakan perarakan sambil berselawat menuju ke Masjid Ar-Raudah, Tanjung Sedili pada jam 8.50 pagi.





Selepas itu, kami berhimpun di perkarangan masjid dan berselawat secara beramai-ramai. Kemudian, kami menikmati minuman ringan sebelum memasuki ruang solat di dalam masjid. Pada jam 9.20 pagi, majlis dimulakan dengan kata-kata aluan dari pihak penganjur. Kemudian diikuti dengan bacaan Al-Quran, surah Al-Jumu'ah dari Saudara Ahmad Faisal bin Amir, wakil dari Maahad Tahfiz Al-Iman.





Seterusnya, bacaan berzanji dari Haji Satar. Para tetamu diminta berdiri dan berselawat sebaik sahaja bacaan berzanji tamat. Majlis dimeriahkan lagi dengan alunan nasyid dari pelajar SMK Tan Sri Jaafar.

Pada jam 11.00 pagi, Ustaz Dr. Abdel Hamid Tahir Al-Umari telah dijemput untuk memberi ceramah agama tentang Maulidurrasul. 

Selepas itu, majlis penyampaian hadiah telah berlangsung. Terdapat tiga kategori yang dipertandingkan iaitu Peserta Teramai, Sepanduk Tercantik dan Perarakan Terbaik. Maahad Tahfiz Al-Iman telah memenangi kategori Peserta Teramai. Alhamdulillah.

Pada jam 12.20 tengah hari, kami telah menikmati jamuan yang disediakan oleh pihak penganjur. Pelajar-pelajar Tingkatan 5 Maahad Tahfiz Al-Iman telah menyumbang tenaga untuk menghidang makanan kepada para tetamu. Setelah majlis bersurai, kami membantu membersihkan kawasan masjid sambil menunggu waktu fardhu zuhur. Kami telah melaksanakan solat zuhur berjemaah di masjid. Pada jam 2.00 petang kami pulang ke asrama.





No comments:

Post a Comment