Oleh: Tingkatan 1, MTI
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم
Pada 20 Januari 2017 (Jumaat), Maahad Tahfiz Al-Iman telah menganjurkan lawatan sambil belajar ke Kebun Inspirasi yang terletak di Tanjung Sedili.
Pada jam 3.00 petang, kami berkumpul di dataran sekolah untuk mendengar taklimat daripada Ustaz Ayub. Selepas itu, kami bergerak ke Rumah Rakyat Johor dengan menaiki kereta dan basikal. Setelah kami semua berkumpul di Rumah Rakyat Johor, kami meneruskan perjalanan kami menuju ke Kebun Inspirasi.
Pada jam 3.30 petang, kami mendengar taklimat daripada pemilik Kebun Inspirasi. Kami diperkenalkan serba sedikit tentang jenis-jenis tumbuhan seperti kelapa sawit, pisang, durian belanda, durian dan sebagainya yang ditanam di kebun itu. Mereka juga menternak haiwan seperti ayam, itik, lembu, kambing, ikan, siput dan sebagainya. Kami juga diingatkan untuk menjaga keselamatan semasa melakukan aktiviti-aktiviti di sana.
Pada jam 4.00 petang, kami bergotong-royong membersihkan Kebun Inspirasi. Selepas itu, kami dibenarkan untuk bermandi-manda dan bermain kayak di kolam ikan yang terdapat di kebun itu. Ada juga pelajar yang bermain basikal sambil menikmati kehijauan alam di kebun itu.
Pada jam 5.30 petang, kami bergotong-royong sekali lagi untuk mengutip sampah, membersihkan kawasan kebun dan menyimpan kayak.
Kami dijamu bubur kacang dan minuman petang pada jam 5.45 petang. Setelah selesai, kami menjalankan aktiviti rentas desa untuk kembali ke Maahad Tahfiz Al-Iman. Perjalanan agak jauh. Kami sampai di asrama pada jam 7.00 malam. Walaupun agak penat, kami berasa seronok kerana dapat belajar untuk menghargai alam semula jadi.
No comments:
Post a Comment